Tuesday 1 October 2019

Langkah Memupuk Perpaduan Kaum di Malaysia

 MALAYSIA adalah sebuah negara membangun yang sedang menuju ke arah status negara maju dan dalam kita mencapai matlamat itu keamanan dan keharmonian tidak pernah sesekali dipinggirkan.

Sebaliknya kepelbagaian agama, etnik dan budaya terus menjadi teras kepada kekuatan Malaysia untuk menjadi sebuah negara maju dalam tempoh beberapa tahun lagi. Hakikatnya, perpaduan jitu yang dibentuk oleh rakyat negara ini adalah asas kepada pengukuhan Malaysia sebagai sebuah negara aman dan harmoni.

Sungguhpun begitu, perpaduan yang jitu ini jika tidak diawasi dengan baik boleh menyebabkan negara berada dalam suasana genting dan huru hara memandangkan kedudukan kaum dan etnik yang pelbagai.


Justeru beberapa langkah perlu diambil dan dikekalkan dalam usaha memastikan rakyat di Malaysia ini terus bersatu padu. Antaranya memantapkan lagi penggunaan bahasa Melayu khususnya melalui sistem pendidikan sama ada di peringkat sekolah termasuk sekolah vernakular hingga ke peringkat pendidikan tinggi.

Menurut Perkara 152, Perlembagaan Malaysia, bahasa Melayu digunakan sebagai alat komunikasi yang penting untuk menyatu-padukan semua lapisan masyarakat. Oleh itu anak-anak kecil daripada pelbagai kaum perlu diajar menggunakan bahasa Melayu bagi membolehkan mereka berkomunikasi bersama rakan di sekolah dan seterusnya hingga ke peringkat universiti.

Selain itu, kepelbagaian agama, budaya dan adat resam sesuatu kaum haruslah dihormati dan dipelihara. Setiap individu berhak mengamalkan adat resam kaum masing-masing dengan harmoni. Contohnya, melalui cara mereka berpakaian, amalan beragama dan perayaan.

Sewajarnya sikap saling menghormati dan memahami budaya sesama kaum ini perlu dipertahankan demi kesinambungan perpaduan negara. Amalan ini bukan sahaja menggambarkan persefahaman malah meningkatkan lagi kemesraan sesama kaum.

Dalam pada itu amalan Rumah Terbuka 1Malaysia yang diadakan bagi meraikan satu-satu perayaan dilihat mampu memupuk perpaduan. Rakyat Malaysia yang berbilang kaum akan saling berkenalan, bermesra dan merasai juadah enak yang disediakan.

Hal ini sudah pasti akan dapat mengeratkan hubungan sekali gus memupuk semangat perpaduan yang utuh. Selain itu amalan ziarah-menziarahi, tolong–menolong dan semangat kejiranan terutama dalam kalangan pelbagai kaum perlu dijadikan budaya kita.

Perpaduan kaum juga boleh dipupuk melalui amalan bersukan. Contoh terbaik ialah menjadikan minggu ke dua bulan Oktober setiap tahun sebagai hari aktiviti sukan di tempat tinggal kita seiring dengan penganjuran Hari Sukan Negara.

Akhir sekali perpaduan juga tidak akan memberi makna tanpa kestabilan politik. Oleh itu, setiap pemimpin negara harus menjaga kestabilan politik supaya keamanan rakyat tidak tergugat.

Melalui kestabilan politik rusuhan kaum dan perpecahan dapat dielakkan, pada masa sama akan mengukuhkan lagi kedudukan ekonomi negara ini.

Sumber: www.utusan.com.my oleh ANIS FAUZIEANA 
ABDUL KARIM (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia)

BY: SITI NUR FAZLIN BINTI BADLI SHAH (01DKA17F1049)

No comments:

Post a Comment